KOTA KINABALU, 12 April – Kerajaan ne-geri Sabah akan membina dua muzium baharu di Kudat dan Ranau bagi memartabatkan khazanah warisan etnik dan budaya setempat sekali gus menarik kehadiran pelancong.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Pang Yuk Ming berkata muzium di Kudat dinamakan sebagai Muzium Tun Mustapha manakala muzium di Ranau dinamakan Muzium Tamadun dan Warisan Etnik Dusun Ranau di Ranau.
“Pembinaan dua muzium ini dapat mengembangkan bidang penyelidikan, dokumentasi dan penerbitan bagi memartabatkan fungsi muzium sebagai institusi penyebaran ilmu dalam bidang pameran, koleksi, sejarah, budaya dan alam semula jadi sekali gus menjadi tarikan pelancongan di tempat itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohamad Alamin (BN-Bongawan) yang bertanya sama ada kerajaan negeri bercadang mewujudkan muzium mini di setiap daerah bagi menghimpun khazanah sejarah pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, hari ini.
Pang berkata setakat ini, kerajaan negeri telah mewujudkan 11 muzium dan galeri masing-masing di Sandakan, Keningau, Semporna, Kinabatangan, Tambunan, Ranau, Tenom dan Penampang.
Menurutnya pada masa ini, kerajaan negeri belum bercadang menyediakan muzium mini di setiap daerah di Sabah.
Bagaimanapun, kerajaan nege-ri menerusi Jabatan Muzium Sabah menyambut baik sebarang inisiatif mana-mana komuniti yang berhasrat menubuhkan muzium mini di daerah masing-masing. – Bernama