Dua nafi curi kabel, sebabkan kerosakan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OKT – Dua lelaki tempatan hari ini telah menafikan pertuduhan mencuri dan melakukan khianat, di Mahkamah Majistret.

Pertuduhan yang dikemukakan oleh Pendakwa Raya Syafina Abdul Hadzid mendakwa Pengiran Mahrin bin Pengiran Haji Ahmad, 46, dan Dannie Hendra Mohd Idris, 45, telah mencuri kabel elektrik sepanjang 9 meter daripada Syarikat Minyak Majra di perairan Kampung Pintu Malim pada 30 September lepas.

Kedua-duanya juga dituduh melakukan khianat dengan menyebabkan kerosakan semasa mencuri kabel berkenaan.

Majistret Kanan Pengiran Hazirah Pengiran Haji Mohd Yusof menangguhkan kes hingga 15 Oktober depan bagi menetapkan tarikh perbicaraan.

Sementara itu, kedua-dua tertuduh dibebaskan dengan jaminan mahkamah.