Dua negara bincang proses pemulangan pelarian haram

ISLAMABAD, 8 Nov – Pakistan dan Afghanistan telah mengadakan rundingan di Islamabad berkaitan isu pelarian Afghanistan serta rakyat Afghanistan lain yang menetap di Pakistan secara haram, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan para pegawai.

“Kedua-dua pihak telah membincangkan cara-cara bagi meningkatkan kerjasama untuk menghantar pulang rakyat Afghanistan ke negara asal sepenuhnya secara bermaruah, beransur-ansur dan dalam tempoh yang ditetapkan,” menurut kenyataan Kementerian Luar Pakistan semalam.

Kenyataan itu menyebut kedua-dua pihak turut memutuskan untuk mematuhi garis masa dan prosedur penghantaran pulang pelbagai kategori golongan ini ke Afghanistan.

Kedua-dua negara telah membentuk kumpulan kerja bersama berkaitan pelarian di bawah Pelan Bertindak bagi Keamanan dan Kestabilan Afghanistan-Pakistan (APAPPS), yang memfokuskan kepada pelbagai kerjasama dalam bidang utama pencegahan keganasan dan pengurangan kekerasan bersama. – Bernama