Dua pakar maut ketika musnah bom

HONIARA, 21 SEPT – Dua pakar pemusnah bom dari Britain dan Australia maut di Pulau Solomon dalam cubaan mereka hendak mematikan bom tinggalan Perang Dunia Kedua, kata para pegawai hari ini.

Menurut laporan polis, kedua-duanya yang bekerja bagi Pertubuhan Kebajikan Bantuan Rakyat Norway (NPA), telah menyimpan bekalan senjata itu tanpa kebenaran di kawasan kediaman bandar Honiara ketika letupan berlaku tengah hari semalam.

NPA menamakan mangsa yang maut itu sebagai Stephen ‘Luke’ Atkinson warga British dan Trent Lee rakyat Australia yang membantu mengutip pangkalan data bahan letupan tidak meletup di Pulau Solomon, tapak pertempuran hebat Perang Dunia Kedua (WWII).

Inspektor polis, Clifford Tunuki berkata letupan itu berlaku di pejabat kebajikan dan kelihatannya ia adalah kerja yang tidak dibenarkan membawa bahan letupan yang tidak meletup (UXO) di kawasan kediaman.

“Kami tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku yang membawa kepada letupan bom tersebut namun siasatan awal menunjukkan mereka sudah beberapa kali membawa UXO ke kawasan kediaman dan mereka mungkin telah menjalankan beberapa kerja UXO,” katanya.

Tunuki berkata polis tidak menyedari senjata itu telah disimpan dalam kawasan tersebut dan jika ia diketahui, mereka akan menegaskannya kepada kedua-duanya untuk membawanya ke kemudahan penghapusan bom. – AFP

Gambar fail bertarikh 14 November 2005 menunjukkan relik dari Perang Dunia Kedua termasuk grenad dan meriam yang dipamerkan di Honiara, Kepulauan Solomon. Dua pakar pemusnah bom terbunuh semasa mematikan bom di pulau tersebut. – AFP