Dua pegawai kanan diperkenankan naik pangkat

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JULAI – Atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dua orang pegawai kanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah dinaikkan ke pangkat brigedier jeneral, berkuat kuasa hari ini.

Pegawai-pegawai kanan tersebut ialah Komandan Akademi Pertahanan, ABDB, 430 Kolonel Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan dan Pengarah Jabatan Menteri Pertahanan dan Jabatanarah Perancangan Strategik, 438 Kolonel Haji Abdul Razak bin Haji Abdul Kadir.

Pemasangan tanda pangkat pada majlis yang berlangsung di Mes Pegawai, Bolkiah Garison, telah disempurnakan oleh Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, setiausaha tetap di Kementerian Pertahanan, pemerintah-pemerintah angkatan tentera, timbalan setiausaha tetap di Kementerian Pertahanan, komandan-komandan, pengarah-pengarah, serta ahli keluarga pegawai-pegawai kanan berkenaan.

Majlis juga telah diberkati dengan Doa Selamat yang telah dibacakan oleh Ketua Jabatan Agama ABDB (JAMA’AT), Komander Haji Ainolnizam bin Haji Ibrahim.

Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan menyempurnakan penyampaian tanda pangkat kepada Brigedier Jeneral Haji Muhammad Haszaimi.

Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan menyempurnakan penyampaian tanda pangkat kepada Brigedier Jeneral Haji Abdul Razak pada majlis yang berlangsung di Mes Pegawai, Bolkiah Garison.