Friday, January 17, 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua peluru berpandu berjaya di pintas

    RIYADH, 25 Jun – Sistem pertahanan udara Arab Saudi semalam mengesahkan ia berjaya memintas dua peluru berpandu yang disasarkan ke arah ibu negara itu, yang dipercayai dilancarkan dari wilayah dikuasai pemberontak di Yaman, media negeri itu melaporkan selepas beberapa letupan didengari dari bandar itu.

    Serpihan dari peluru berpandu itu bertebaran di kawasan kediaman ibu negara itu tanpa menyebabkan sebarang korban, menurut gabungan ketenteraan yang diketuai oleh Riyadh dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Agensi Berita Rasmi Saudi.

    Wartawan AFP yang berada di sana berkata telah mendengar sekurang-kurangnya empat bunyi letupan di Riyadh, yang sebelum ini turut menjadi sasaran pemberontak Houthi, manakala penduduk pula melaporkan mereka melihat cahaya terang di langit. Serpihan logam kelihatan bertaburan di kawasan diplomatik di Riyadh, yang menempatkan pelbagai bangunan kedutaan menurut sumber diplomatik di sana kepada AFP. Kawasan terbabit telah dikawal ketat oleh pihak keselamatan.

    Sementara itu, rangkaian berita pemberontak Houthi yang disokong oleh Iran, Al-Masirah pula berkata, peluru berpandu itu berjaya menyebabkan kerosakan pada bangunan yang menempatkan Kementerian Pertahanan Arab Saudi dan lokasi lain di ibu negara itu.

    Namun, jurucakap tentera gabungan, Turki Al-Maliki menolak dakwaan tersebut. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda