‘Dua peluru berpandu tembak pesawat Ukraine’

TEHRAN, 21 JAN – Iran telah mengesahkan dua peluru berpandu telah menembak kapal terbang Ukraine yang terhempas dalam tragedi bulan ini yang mengorbankan 176 orang di dalamnya dan mencetuskan kemarahan penduduk dunia.

Pihak berkuasa penerbangan awam negara itu mengatakan ia masih belum menerima respons positif selepas meminta bantuan teknikal dari Perancis dan Amerika Syarikat untuk memecahkan kotak hitam dari pesawat yang terhempas itu.

Pesawat Syarikat Penerbangan Antarabangsa Ukraine itu secara tidak sengaja ditembak jatuh sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Imam Khomeini di Tehran pada 8 Januari.

Iran telah mengalami tekanan antarabangsa untuk menjalankan penyiasatan penuh dan telus terhadap insiden udara itu.

“Penyiasat… mendapati bahawa dua peluru berpandu Tor-M1… telah dilancarkan ke atas pesawat tersebut,” kata Organisasi Penerbangan Awam Iran dalam laporan awal yang didedahkan di laman webnya lewat kelmarin.

Ia berkata siasatan akan diteruskan untuk menilai kesan yang berlaku terhadap kemalangan itu.

Kenyataan tersebut mengesahkan laporan di The New York Times yang termasuk rakaman video yang menunjukkan dua peluru ditembak ke atas pesawat itu.

Tor-M1 adalah peluru berpandu ‘permukaan-keudara’ jarak jauh yang dibangunkan oleh bekas Kesatuan Soviet yang direka untuk menyasarkan peluru berpandu pesawat atau pelayaran. – AFP

Cebisan pesawat Syarikat Penerbangan Antarabangsa Ukraine yang ditembak jatuh sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Imam Khomeini di Tehran pada 8 Januari. – AFP