Friday, April 19, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Dua pemeriksa JPBD bebas tuduhan rasuah

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 MAC – Dua pemeriksa perancangan di Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD), hari ini, telah dibebaskan daripada baki pertuduhan kerana menerima wang $90 daripada sebuah bengkel kereta, oleh Pesuruhjaya Kehakiman Edward Timothy Starbuck Woolley.

    Zamri bin Haji Jaludin dan Pengiran Baharuddin bin Pengiran Haji Mohd Tahir, bersama seorang lagi pemeriksa perancang dari JPBD, Muhammad Rifai’e bin Zaini telah menjalankan pemeriksaan di syarikat berkenaan pada 30 Ogos 2011.

    Muhammad Rifai’e tidak didakwa atas sebarang kesa-lahan tetapi menjadi saksi pendakwaan. Zamri dan Pengiran Baharuddin pada mulanya didakwa di bawah Seksyen 6 Akta Pencegahan Rasuah kerana bertindak untuk meneruskan niat bersama mereka dalam menerima $90 sebagai dorongan untuk tidak menjalankan pemeriksaan sewajarnya di bengkel itu dan di bawah Seksyen 165 Kanun Hukuman Jenayah kerana menerima $90 tanpa sebarang pertimbangan atau pertimbangan yang mencukupi.

    Majistret Hazarena POKSJDP Haji Hurairah mengendalikan perbicaraan dan membebaskan kedua-dua defendan daripada pertuduhan pencegahan rasuah tetapi mensabitkan mereka bagi pertuduhan kedua mengikut Seksyen 165 Kanun Hukuman Jenayah.

    Pada 14 Julai 2020, hukuman penjara selama tujuh bulan dijatuhkan kepada setiap seorang daripada mereka tetapi membenarkan hukuman itu ditangguhkan sementara menunggu rayuan.

    Defendan diwakili peguam bela Yusof Halim dari Tetuan Yusof Halim & Partners dalam perbicaraan manakala Pendakwa Raya Jauinah Haji Kula bertindak bagi pihak pendakwaan.

    Defendan merayu terhadap sabitan itu dan rayuan didengar pada 7 Mac secara dalam talian dengan hakim berada di Australia iaitu di lokasi berasingan.

    Rayuan telah dijalankan bagi perayu oleh peguam Anlan Hee dan Lim Li Chyi dari Tetuan Yusof Halim & Partners manakala Pendakwa Shamsuddin Haji Kamaluddin bertindak bagi responden.

    Tidak dipertikaikan bahawa perayu bersama Muhammad Rifa’ie, yang merupakan pemeriksa dari JPBD, telah menjalankan pemeriksaan terhadap syarikat terbabit pada tarikh berkenaan.

    Persoalan tentang ukuran sengkuap di bengkel ditimbulkan. Seorang pekerja bengkel memberitahu pegawai perancang bandar dan desa tersebut bahawa bengkel berkenaan mempunyai kelulusan bagi sengkuap berkenaan.

    Dia kemudian menghubungi majikannya yang tiada di premis itu dan diarah memberi $90 kepada tiga pegawai berkenaan.

    Dia meletakkan $90 dalam sampul surat dan menyerahkannya kepada Zamri yang mengambilnya kerana percaya bahawa ia adalah kelulusan bertulis untuk sengkuap itu.

    Dia meletakkan sampul surat itu ke dalam fail kes dan tidak cuba untuk menyembunyikannya. Ketiga-tiga pegawai berkenaan kemudian bergerak ke lokasi lain di mana mereka menjalankan pemeriksaan di sana.

    Setelah selesai pemeriksaan dan sebelum menyerahkan fail kes kepada Pengiran Baharuddin, Zamri membuka sampul surat itu dan menemui $90 di dalamnya. Dia menyimpan $50 dan memberikan bakinya kepada Pengiran Baharuddin yang berkongsi dengan Muhd Rifa’ie.

    Di samping itu, Pengiran Baharuddin tidak diberitahu dari mana wang tersebut didapatkan.

    Hakim Woolley mendapati bahawa “tiada bukti di sini mengenai sebarang pengaturan atau persetujuan sama sekali sebelum atau selepas penemuan oleh (Zamri) bagi kandungan sampul surat itu” dan pihak pendakwaan telah gagal membuktikan setiap elemen pertuduhan terhadap defendan.

    Pemilik syarikat yang terlibat telah melakukan tindakan berasingan, mengaku bersalah memberikan $90 kepada pegawai perancang dan didenda $10,000.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...