Dua pemimpin protes ditahan

BANGKOK, 7 OGOS – Polis Thailand hari ini menahan seorang peguam hak asasi manusia dan seorang pemimpin pelajar berhubung protes anti-kerajaan oleh pelajar di seluruh negara.

Peguam hak asasi manusia Anon Nampa, 35, dan pemimpin pelajar Panupong Jadnok, ditahan polis susulan siri protes dan demonstrasi yang diadakan sejak 18 Julai yang menggesa pembubaran Parlimen, menghentikan tindakan terhadap pengkritik kerajaan dan pinda semula perlembagaan.

Anon dan Panupong dikehendaki bagi kesalahan melanggar Perkara 116 Kanun Jenayah dan mengingkari Dekri Darurat yang melarang perhimpunan besar-besaran.

Biro Polis Metropolitan Bangkok mengesahkan penahanan dua pemimpin protes – Anon dan Panupong hari ini. – Bernama