Dua penalti gagal, Barca tetap mara

MADRID, 22 JAN – Ronald Koeman mengkritik para pemain Barcelona yang gagal menyempurnakan dua sepakan penalti semalam, sehingga memerlukan masa tambahan untuk mengalahkan pasukan divisyen tiga, Cornella untuk mara ke peringkat 16 akhir Copa del Rey.

Jaringan Ousmane Dembele dan Martin Braithwaite pada masa tambahan memberikan mereka kemenangan 2-0, namun sebelum itu Miralem Pjanic dan Dembele telah gagal menyempurnakan sepakan penalti.

Pjanic dan Dembele menyertai lima senarai pemain Barcelona yang lain gagal menyempurnakan sepakan penalti musim ini bersama Lionel Messi, Antoine Griezmann dan Braithwaite.

“Saya tidak faham kerana mereka adalah pemain yang boleh untuk menjaringkan penalti,” kata Jurulatih Barca, Koeman.

“Mungkin mereka takut. Saya tidak tahu. Beberapa pemain sudah gagal sebelum ini, tapi jika anda sudah menjaringkan salah satu daripada dua penalti, anda sudah boleh merasa tenang melakukannya.

Reaksi pemain Barcelona meraikan jaringan gol Ousmane Dembele semasa perlawanan Copa del Rey menentang Cornella di Stadium Nou Municipal, semalam. – AP

“Anda tidak boleh gagal menjaringkan dua penalti sebagai pemain Barca. Mereka tidak serius,” tambahnya.

Barca cuba untuk bangkit dari kekecewaan selepas kalah kepada Athletic Bilbao dalam perlawanan akhir Piala Super Sepanyol, di mana Messi dibuang padang buat kali pertama.

Dengan Messi digantung, Barca bergelut untuk meraih kemenangan setelah terpaksa beraksi ke masa tambahan ketiga mereka berturut-turut dalam tempoh lapan hari.

Pjanic gagal menjaringkan penalti pertama pada minit ke-39 setelah Ronald Araujo dikasari oleh Albert Estelles dan penjaga gol Cornella, Ramon Juan berjaya menyelamatkan tendangannya.

Penalti kedua memberikan peluang keemasan untuk Barca pada minit ke-80 selepas Estelles sekali lagi melakukan kesalahan, namun rembatan Dembele yang melakukan hasil sama berjaya diselamatkan oleh Ramon Juan. – AFP