Dua pendaki maut, seorang hilang

KATHMANDU, 16 Mei – Dua pendaki India meninggal dunia dan seorang lagi pendaki warga Chile hilang di Gunung Kanchenjunga, gunung ketiga tertinggi di dunia, penganjur ekspedisi berkata hari ini.

Biplab Baidya, 48 dan Kuntal Karar, 46, berada di gunung 8,586 meter (28,169 kaki) di sempadan Nepal-India dengan sebuah pasukan yang memiliki lima anggota dari West Bengal.

Karar jatuh sakit sebelum membuat pendakian, manakala Baidya pengsan semasa menuruni puncak gunung itu, kata penganjur.

Walaupun terdapat percubaan untuk menyelamatkan mereka, tetapi kedua-duanya meninggal dunia ketika berada di ketinggian 8,000 meter dalam apa yang disebut sebagai ‘zon kematian’ di mana tidak ada oksigen yang mencukupi bagi kebanyakan manusia untuk bernafas secara normal.

“Kami percaya mereka mengalami masalah ketinggian, sherpa kami cuba membawa mayat mereka ke bawah,” kata Keshab Poudel kepada AFP.

Manakala itu, seorang lagi pendaki warga Chile juga hilang ketika turun dari puncak Kanchenjunga.

Poudel berkata pencarian telah bermula.

Banyak pergunungan Himalaya, termasuk Everest, yang tertinggi di dunia, berada di puncak musim pendakian dengan keadaan cuaca yang baik antara akhir April dan Mei.

Minggu lepas pendaki Peru yang berpengalaman, Richard Hidalgo meninggal dunia di Gunung Makalu, gunung kelima tertinggi di dunia, manakala seorang rakyat Malaysia meninggal dunia pada April lalu selepas dibawa turun dari Gunung Annapurna di mana dia menghabiskan dua malam di kawasan terbuka berhampiran puncak gunung itu.

Beratus-ratus pendaki berkumpul setiap tahun ke Nepal, yang menempatkan lapan daripada 14 puncak tertinggi di dunia. – AFP