Dua penyeludup dadah maut di Thailand

BANGKOK, 11 Sept – Dua penyeludup dadah maut dalam pertempuran bersenjata dengan anggota Biro Pembanterasan Narkotik Thailand (NSB) di kawasan pergunungan Chiangrai, berhampiran sempadan negara itu dengan Myanmar, malam tadi.

Menurut Ketua NSB Lt Jen Sommai Kongvisaisuk, anggotanya merampas 27 guni berisi pelbagai jenis dadah termasuk serbuk dan ketulan heroin, “Ice” (kristal Methamphetamine) seberat 60 kilogram dan kira-kira 2.7 juta biji tablet Methamphetamine.

“Dalam rondaan malam tadi, anggota NSB bertembung dengan sekumpulan 20 lelaki membawa guni berisi dadah, mencetuskan kejadian berbalas tembakan yang berlangsung kira-kira 20 minit yang mengakibatkan dua penyeludup dadah yang bersenjata api maut,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Tiada anggota NSB cedera dalam pertempuran itu yang berlaku di Doi Nanglae, di daerah Mueng di Chiangrai, tidak jauh dari Tachilek di Myanmar.

Keadaan muka bumi bergunung-ganang yang menyukarkan pihak berkuasa untuk melakukan pemantauan, laluan di Chiangrai yang terletak di kawasan ‘Tiga Segi Emas’ telah menjadi pilihan sindiket untuk menyeludup dadah mereka ke Thailand dan negara lain di rantau itu.

Pada Mei tahun lepas, pertempuran serupa berlaku antara sekumpulan tentera yang sedang melakukan rondaan dengan penyeludup dadah di Chiangrai, berhampiran sempadan Myanmar, mengakibatkan sembilan penjenayah maut. – Bernama