Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Jabatan Perkhidmatan Pos
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OKT – Perubahan dan inovasi adalah perlu bagi Jabatan Perkhidmatan Pos melangkah maju ke hadapan seiring dengan perubahan semasa.
Oleh itu, model perniagaan Jabatan Perkhidmatan Pos telah menjalani peralihan semasa dengan pelancaran dua perkhidmatan tambahan iaitu Perkhidmatan Penghantaran Ubat melalui pos laju dan Projek Rintis Bungkusan Cop Merah.
“Dengan pelancaran dua perkhidmatan ini diharap akan membantu meningkatkan lagi mutu, prestasi dan kualiti perkhidmatan yang diberikan kepada orang ramai,” kata Pemangku Ketua Pos Agung, Dr Rosdi bin Haji Abdul Aziz.
Beliau berucap sedemikian semasa menyampaikan alu-aluannya pada Majlis Sambutan Hari Pos Sedunia ke-144 yang berlangsung di Sungai Tilong, kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan pelancaran dua perkhidmatan tambahan berkenaan ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.
Perkhidmatan penghantaran ubat melalui pos laju berkenaan merupakan kolaborasi di antara Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Perkhidmatan Pos, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.
Dr Rosdi menerangkan menerusi kerjasama itu, orang ramai boleh membuat tempahan ubat secara dalam talian melalui aplikasi QueUp dengan harga penghantaran yang berpatutan dan kompetitif.
Manakala Projek Rintis Bungkusan Cop Merah, iaitu bungkusan yang memerlukan pemeriksaan pihak berkuasa, adalah usaha bersepadu di antara Jabatan Perkhidmatan Pos bersama Jabatan Kastam dan Eksais Diraja.
Ia bertujuan untuk mengurangkan masa pengambilan bungkusan merah, selain meningkatkan produktiviti sekali gus membolehkan penghantaran melalui cawangan-cawangan pos di seluruh negara.