Dua pertiga penduduk India miliki antibodi COVID-19

NEW DELHI, 21 JULAI – Sekitar dua pertiga penduduk India mungkin telah dijangkiti COVID-19, menurut kajian kerajaan kelmarin.

Kajian serum darah ke atas 29,000 orang pada Jun dan Julai menunjukkan 67.6 peratus mereka yang diuji mempunyai antibodi virus itu.

Keputusan kajian oleh Majlis Penyelidikan Perubatan India (ICMR) menunjukkan impak bagi peningkatan kes pada April dan Mei, ketika India melaporkan tentang 400,000 kes jangkitan dan 4,000 kematian sehari.

Pada Disember dan Januari, kurang 25 peratus daripada mereka dalam kajian serupa telah diuji positif ujian antibodi.

Ketua ICMR, Balram Bhargava berkata kajian itu menunjukkan ‘adanya sinar harapan’.

“Namun tidak ada ruang bagi sikap berpuas hati. Kita harus mengekalkan tatalaku sesuai COVID-19,” katanya di New Delhi kelmarin. Ratusan juta di India tanpa antibodi lebih mudah terdedah kepada jangkitan teruk.

Hanya 13 peratus orang dewasa dalam kajian itu telah divaksin sepenuhnya. India yang baru saja memvaksin lapan peratus penduduk dewasa telah mencatatkan jumlah kematian sejumlah 418,480 yang ketiga tertinggi di dunia. – AFP