Dua pesakit COVID-19 meninggal dunia

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OGOS – Dua lagi kes yang disahkan positif COVID-19 telah disahkan meninggal dunia pada hari ini.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar dalam Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Beliau menjelaskan, kes pertama ialah seorang lelaki berumur 52 tahun yang merupakan Kes 2197 yang telah didapati positif pada 25 Ogos 2021.

Menurut Yang Berhormat Menteri Kesihatan, mendiang telah mengalami masalah pendarahan intracerebral haemorrhage dan tidak dikategorikan sebagai kematian disebabkan COVID-19. Manakala itu, kes kedua ialah seorang lelaki tempatan berumur 51 tahun merupakan Kes 869 yang dilaporkan pada 17 Ogos 2021.

“Allahyarham telah mengalami masalah jangkitan paru-paru setelah dijangkiti COVID-19,” jelas Yang Berhormat Dato.

Sehubungan itu, demi menjaga kerahsiaan dan menghormati privasi keluarga kes-kes tersebut, Yang Berhormat Menteri Kesihatan tidak mengongsikan butiran peribadi mereka.

Orang ramai juga dipohonkan untuk sama-sama menghormati dan tidak menyebarkan maklumat-maklumat berkaitan dengan kes-kes tersebut.

“Di kesempatan ini, saya mewakili warga Kementerian Kesihatan dan keseluruhan rakyat Negara Brunei Darussalam mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang dan Allahyarham.

“Semoga keluarga mendiang diberikan kesabaran dan kekuatan dalam menghadapi pemergiannya dan roh Allahyarham dicucuri rahmat serta
ditempatkan bersama-sama para solihin. Al-Fatihah.”