Dua pesakit COVID-19 meninggal dunia

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 NOV – Dua lagi kes yang telah disahkan positif COVID-19 di Negara Brunei Darussalam telah kembali ke rahmatullah, pada hari ini.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar telah memaklumkannya semasa sidang media di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.

“Kes pertama ialah seorang lelaki berumur 59 tahun. Beliau telah mengalami beberapa masalah kesihatan dan tidak dikategorikan sebagai kematian disebabkan oleh COVID-19,” jelas Yang Berhormat Dato.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan kemudiannya menjelaskan bahawa kes kedua ialah seorang perempuan berumur 61 tahun yang mana punca kematian bagi kes ini masih dalam siasatan.

Sehubungan itu, Negara Brunei Darussalam kekal mencatatkan sebanyak 55 kes yang telah meninggal dunia disebabkan oleh COVID-19.

Di kesempatan itu, Yang Berhormat Dato mewakili warga Kementerian Kesihatan dan keseluruhan rakyat Negara Brunei Darussalam mengucapkan takziah kepada keluarga kes-kes berkenaan.

“Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solehin. Al-Fatihah.”