Dua pesakit COVID-19 meninggal dunia

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OGOS – Dua pesakit yang disahkan positif COVID-19 di negara ini telah meninggal dunia hari ini.

Kes pertama ialah seorang perempuan tempatan berumur 85 tahun merupakan Kes 609 yang telah dilaporkan positif pada 14 Ogos 2021 manakala kes kedua ialah seorang lelaki tempatan berumur 69 tahun merupakan Kes 1629 yang dilaporkan pada 22 Ogos 2021.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar (gambar) berkata kedua-dua kes berkenaan mengalami masalah jangkitan paru-paru setelah dijangkiti COVID-19.

Beliau mengumumkan berita dukacita tersebut semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang diadakan di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

“Sehubungan dengan ini, demi menjaga kerahsiaan dan menghormati privasi keluarga kedua-dua kes ini, Kementerian Kesihatan tidak akan mengongsikan butiran peribadi mereka,” jelas Yang Berhormat Dato lagi.

Beliau juga memohon kepada orang ramai untuk sama-sama menghormati keluarga mangsa dengan tidak menyebarkan maklumat-maklumat berkaitan dengan kedua-dua kes tersebut.

“Di kesempatan ini, saya mewakili warga Kementerian Kesihatan dan keseluruhan rakyat Negara Brunei Darussalam turut mengucapkan takziah kepada keluarga-keluarga mereka, dan berdoa semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama para solihin. Al-Fatihah,” ujar Yang Berhormat Dato.