Dua pihak setuju guna ‘peta jalan’

MANAGUA, 7 Mac – Kerajaan Nicaragua yang dipimpin oleh Presiden Daniel Ortega dan pembangkang bersetuju bagi satu ‘peta jalan’ untuk melanjutkan rundingan damai dalam usaha mengakhiri krisis 10 bulan yang tercetus akibat tindakan kekerasan berdarah berhubung perbezaan pendapat yang menyaksikan ratusan orang terkorban.

Kejayaan tersebut diumumkan lewat kelmarin oleh perwakilan Vatican ke Nicaragua, Waldemar Stanislaw Sommertag, selepas rundingan lima hari di ibu negara Managua antara pihak kerajaan dan pembangkang, Civic Alliance.

Semalam, kedua-dua pihak telah mengeluarkan satu kenyataan bersama bagi mengesahkan bahawa mereka telah ‘memulakan pertimbangan item agenda’ dana akan meneruskannya esok. Rundingan telah ditangguhkan sementara bagi menunggu respons daripada Gereja Katolik bagi satu jemputan daripada kedua-dua belah pihak untuk terlibat sebagai pemerhati pada rundingan itu, di samping gereja Evangelical.

Sementara itu, Ketua Biskop, Leopoldo Brenes berkata dia akan memberikan respons terhadap jemputan itu esok selepas mengadakan konsultasi bersama para biskop.

Rundingan damai yang ditaja oleh Gereja Katolik sebelum ini pada Jun 2018 telah menemui jalan buntu.

Pihak pembangkang telah menggesa bagi kehadiran antarabangsa secara meluas, termasuklah perwakilan daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan Pertubuhan Negara-negara Amerika, untuk memastikan kepatuhan dalam mana-mana perjanjian yang diguna pakai semasa rundingan berkenaan. Akan tetapi, pihak kerajaan tidak bersetuju me-ngenainya, namun sebagai sebahagian daripada perjanjian peta jalan, kedua-dua pihak berkata para penjamin akan dibentuk setelah agenda diluluskan.

“Kami memerlukan kehadiran pertubuhan berkenaan yang boleh memberi keyakinan dan transparensi kepada dialog, kepada kedua-dua peserta dan penduduk,” kata delegasi Alliance, Ernsto Medina kepada AFP. – AFP

Anggota Civic Alliance, Jose Pallais ketika bertemu pemberita berhubung dialog yang diadakan bersama kerajaan di Managua, kelmarin. – AFP