CUCUTA, COLOMBIA, 15 DIS – Dua pegawai polis maut selepas bahan letupan meletup di lapangan terbang sempadan Colombia dengan Venezuela yang turut mengorbankan penyerangnya, menurut pegawai keselamatan.
Penyerang itu melompat ke dalam pagar di kawasan landasan lapangan terbang antarabangsa Cucuta sebelum meletupkan bahan letupan yang dibawa bersamanya.
Pegawai berkenaan, David Reyes, 38, dan William Bareno, 42 telah terbunuh apabila pakar bahan letupan meninjau kawasan itu dan menjumpai beg pakaian, “ yang turut meletup, kata ketua pasukan polis Cucuta, Kolonel Giovanni Madarriaga.
Menteri Pertahanan Colombia, Diego Molano berkata insiden itu merupakan serangan oleh ELN, yang menolak perjanjian damai 2016 dengan organisasi gerila yang lebih besar iaitu FARC.
Polis berkata, tidak jelas sama ada bahan letupan yang dibawa oleh penyerang yang tidak dikenali itu meledak sebelum waktunya atau jika serangan itu adalah pengeboman bunuh diri, satu perbuatan luar biasa dalam konflik Colombia yang berlarutan.
Polis dan anggota keselamatan mengepung lapangan terbang itu, yang menggantung semua penerbangan selama tujuh jam.
Beberapa buah rumah juga mengalami kerosakan disebabkan letupan itu.
Sekurang-kurangnya lima serangan menggegarkan wilayah yang bersempadan dengan Venezuela sejak pertengahan tahun ini. – AFP