Dua presiden angkat sumpah serentak

KABUL, 9 MAC – Afghanistan berdepan krisis politik hebat hari ini ketika pesaing-pesaing bagi kepimpinan negara itu telah mengangkat sumpah dalam upacara serentak yang diselubungi oleh dua letupan.

Pertikaian antara Presiden Ashraf Ghani dan bekas ketua eksekutif Abdullah Abdullah telah menimbulkan kebimbangan bagi demokrasi rapuh Afghanistan ketika AS bersedia untuk meninggalkan negara itu susulan persetujuan bulan lalu dengan Taliban.

Pilihan raya telah diadakan pada September namun berkali-kali penangguhan dan tuduhan penipuan undi bermaksud Ghani, hanya satu-satunya diumumkan sebagai pemenang tempoh kali kedua pada Februari – mencetuskan respons berang daripada Abdullah, yang berikrar untuk membentuk kerajaannya sendiri.

Hari ini, Ghani, berpakaian tradisional Afghanistan dan turban putih, tiba di istana presiden untuk mengangkat sumpah, dikelilingi para penyokong, tokoh politik kanan, diplomat-diplomat dan pembesar negara asing termasuk utusan khas AS, Zalmay Khalilzad.

Beberapa minit sebelumnya, dalam kejadian berasingan di kawasan istana presiden, Abdullah berpakaian sut mengumumkan dirinya sebagai presiden, berikrar untuk ‘melindungi kemerdekaan, kedaulatan negara, integriti wilayah atau Afghanistan.

Ketika ratusan orang menyaksikan majlis Ghani, dua letupan kedengaran menyebabkan beberapa orang melarikan diri.

“Saya tidak memakai ves kalis peluru, hanya pakaian saya,” Ghani memberitahu mereka yang ada di upacara tersebut ketika siren berbunyi.

“Saya tidak akan berganjak walaupun saya terpaksa mengorbankan kepala saya.”

Wartawan AFP menyaksikan ramai yang lari kembali ke kerusi mereka selepas keengganan Ghani untuk meninggalkan podium sehingga mencetuskan tepukan dan sorakan. – AFP

Presiden Afghanistan Ashraf Ghani (tengah) berjabat tangan bersama naib presiden pertama, Amrullah Saleh (kiri) selepas mengangkat sumpah di Istana Presiden di Kabul pada 9 Mac. – AFP