Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Dua produk kosmetik dicemari bahan terlarang

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 MAC – Orang ramai disarankan untuk tidak menggunakan dua produk kosmetik yang didapati dicemari bahan terlarang yang tidak diisytiharkan, hasil daripada ujian makmal oleh Bahagian Farmasi, Jabatan Perkhidmatan Saintifik, Kementerian Kesihatan.

    Produk-produk kosmetik berkenaan ialah RYX Skin Sincerity Clear Bomb Advanced Exfoliating Toner dan RYX Skin Sincerity Beyouthiful Starter Kit Day & Night Rejuvenating Toner di mana kedua-duanya adalah dari Filipina serta dicemari dengan hydroquinone.

    Bahan pencemaran dalam produk berkenaan boleh mengakibatkan kesan-kesan mudarat yang membahayakan kesihatan, menurut Kementerian Kesihatan dalam kenyataannya, hari ini.

    Hydroquinone adalah bahan yang digunakan dalam ubat-ubatan yang memerlukan preskripsi bagi merawat penyakit kulit dan ia dilarang dalam produk kosmetik penjagaan kulit di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik).

    Penggunaan hydroquinone tanpa pengawasan boleh menyebabkan perubahan warna kulit, hipersensitiviti, bahagian kulit yang disapu menjadi biru-hitam atau gelap serta boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

    Kementerian juga menekankan tidak pernah mengeluarkan kebenaran ke atas pengimportan untuk penjualan produk berkenaan dan/atau mengeluarkan Surat Pengakuan Notifikasi Produk Kosmetik bagi penjualan produk-produk berkenaan.

    Kementerian Kesihatan juga memohon kerjasama orang ramai untuk melaporkan kepada Bahagian Komplians dan Perlesenan jika mendapati produk-produk berkenaan masih dipasarkan di negara ini.

    Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat dan perhubungan lanjut boleh menghubungi Bahagian Komplians dan Perlesenan melalui talian 2393298 sambungan 208; menghantar e-mel ke pharmacy.enforcement@moh.gov.bn; berjumpa terus pegawai komplians dan pelesenan di Tingkat 1, Bangunan Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kampung Madaras, Mukim Gadong A atau hubungi Talian Darussalam 123.

    ATAS & BAWAH: Dua produk kosmetik dari Filipina yang didapati dicemari bahan terlarang. – Gambar serahan Kementerian Kesihatan

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...