Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Kementerian Kesihatan
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 FEB – Kementerian Kesihatan menyeru orang ramai untuk tidak menggunakan dua produk kesihatan yang dicemari dengan bahan terlarang yang tidak diisytiharkan, hasil daripada ujian makmal Bahagian Farmasi, Jabatan Perkhidmatan Saintifik, Kementerian Kesihatan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini, hari ini, produk-produk berkenaan ialah Japan Tengsu Tablets yang dikeluarkan oleh Shiga Pharmaceutical Ltd, Jepun yang didapati dicemari dengan sildenafil dan Artlax Go Out Capsules yang diedarkan oleh Erat Kasih Sdn Bhd, Malaysia yang dicemari dengan chlorpheniramine, prednisolone, dexamethasone serta betamethasone.
Kenyataan menerangkan lanjut bahawa bahan pencemar dalam produk berkenaan boleh mengakibatkan kesan-kesan mudarat yang membahayakan kesihatan.
Kenyataan menjelaskan bahawa chlorpheniramine digunakan untuk melegakan gejala-gejala alahan yang mana ia mempunyai beberapa kesan buruk termasuk merasa mengantuk, pening, kelemahan otot, tekanan darah menurun, kabur penglihatan, mulut kering, kemurungan, denyutan jantung tidak menentu, meningkat selera makan dan berat badan.
Manakala itu, penggunaan kortikosteroid dexamethasone, betamethasone dan prednisolone secara berpanjangan tanpa pengawasan boleh menyebabkan peningkatan pada paras glukosa dalam darah yang mengakibatkan kencing manis, tekanan darah tinggi, katarak, penyakit otot dan tulang, serta meningkatkan risiko jangkitan yang teruk.
Sementara itu, sildenafil adalah ubat yang digunakan untuk merawat mati pucuk yang memerlukan preskripsi doktor. Antara kesan-kesan sampingan apabila memakan ubat-ubat tersebut ialah merasa mual, muntah-muntah, muka kemerahan dan pening. Dalam kes-kes yang teruk, ia juga boleh menyebabkan peningkatan yang luar biasa dalam degupan jantung, kehilangan pendengaran secara tiba-tiba dan sawan.
Kementerian Kesihatan dalam kenyataan itu, menegaskan bahawa kementerian berkenaan tidak pernah mengeluarkan kebenaran ke atas pengimportan bagi penjualan produk-produk berkenaan. Berikutan dapatan itu, produk-produk berkenaan adalah dilarang untuk diimport dan dijual di Negara Brunei Darussalam.
Orang ramai yang telah membeli atau memakan produk-produk berkenaan dinasihatkan untuk memberhentikan pengambilannya dengan serta merta.

