Dua program UNISSA terima pengiktirafan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OKT – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) sekali lagi memperoleh pengiktirafan sebagai institusi bertaraf empat bintang ‘plus’ pada September lalu, bagi dua program prasiswazahnya.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan UNISSA di sini hari ini, dua program yang mendapat pengiktirafan ialah Program Sarjana Muda Sains dalam Kewangan Islam dan Program Dwi Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dan Sarjana Muda Perundangan Syariah.

Ia mencapai kecemerlangan dalam sistem penilaian University Performance Metrics (UPM) yang diterajui oleh Vietnam National University dengan kerjasama ASEAN University Network (AUN), yang merupakan pertama kalinya diadakan pada tahun ini.

Sebanyak 23 buah program dari pelbagai institusi tinggi di rantau ini telah menyertai sistem penilaian tersebut yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu program gunaan dan program berorientasikan penyelidikan.

Program Sarjana Muda Sains dalam Kewangan Islam berjaya diiktiraf sebagai program bertaraf lima bintang dan menduduki kedudukan teratas dalam kategori program gunaan.

Antara tenaga pengajar bagi FEKIm UNISSA. – Gambar serahan UNISSA

Manakala, Program Sarjana Undang-undang dan Sarjana Muda Perundangan Syariah telah mendapat pengiktirafan empat bintang dan menduduki tempat ketujuh dengan memperolehi 604 mata.

Hasil daripada penilaian terhadap 44 petunjuk dalam tujuh kategori, Program Sarjana Muda Sains dalam Kewangan Islam memperoleh lima bintang dalam tiga kategori, iaitu penjajaran strategik, pengajaran dan pembelajaran, dan pengantarabangsaan. Manakala, Program Dwi Ijazah Sarjana Undang-undang dan Sarjana Muda Perundangan Syariah mendapat empat bintang dalam lima kategori.

Antaranya ialah penyelidikan dan inovasi, ekosistem universiti, dan khidmat masyarakat.

Menurut laporan UPM, pengajaran dan pembelajaran merupakan kekuatan utama bagi kedua-dua buah program tersebut dalam pelbagai petunjuk.

Antaranya ialah kualiti dan reputasi fakulti, dan tahap kepuasan pelajar dan majikan.

Penarafan tersebut menunjukkan bahawa sebagai sebuah institusi tinggi Islam tulen, UNISSA mempamerkan komitmen berterusan dalam menyediakan program-program yang berkualiti tinggi dan bertaraf antarabangsa bagi mendukung usaha kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam mencapai Wawasan Brunei 2035.

Sementara itu, Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal dalam kenyataan akhbar UNISSA berkata bahawa pengiktirafan itu menyuntik semangat UNISSA untuk terus berkembang maju dalam bidang akademik dan membuktikan bahawa UNISSA sebagai institusi pengajian tinggi Islam juga boleh bersaing di peringkat antarabangsa.