Dua pusat penempatan pesakit COVID-19 mula beroperasi

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 SEPT – Dalam usaha berterusan membendung penularan wabak COVID-19, Fasa Ketiga COVID Holding Area Mahad (CHAM), Tutong dan COVID Holding Area Pusat Tingkatan Enam Belait (CHABEL6) telah mula beroperasi.

Fasa Ketiga CHAM Tutong boleh menampung sehingga 488 orang pesakit, manakala itu, CHABEL6 boleh menampung seramai 320 orang pesakit.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar dalam sidang media, hari ini.
Menurut Yang Berhormat Dato, kedua-dua fasiliti tersebut telah mula beroperasi kelmarin (13 September 2021).

“Kedua-dua fasiliti baharu ini dikendalikan bersama oleh Kementerian Kesihatan dengan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei,” tambah Yang Berhormat Dato.