LONDON, 2 OKT – Satu serangan asid di luar sebuah sekolah di London menyebabkan dua remaja dimasukkan ke hospital kelmarin, seorang daripada mereka mengalami kecederaan yang mungkin memberikan kesan kepada hidupnya, kata polis.
Tiga orang cedera apabila bahan tersebut dibaling ke arah pelajar dan seorang kakitangan pada petang Isnin.
“Ujian ke atas bahan itu sedang dijalankan. Pada peringkat ini pegawai percaya ia adalah asid,” kata polis London dalam satu kenyataan, yang menyatakan bahawa kecederaan seorang gadis berusia 14 tahun mungkin memberi kesan kepada kehidupannya.
“Siasatan segera sedang dijalankan untuk mengenal pasti dan menangkap mereka yang bertanggungjawab,” tambahnya.
Seorang budak lelaki berusia 16 tahun, yang kecederaannya tidak serius, juga dimasukkan ke hospital selepas kejadian di sekolah Akademi Westminster di barat London.
Mangsa ketiga, seorang wanita berusia 27 tahun, dibenarkan keluar dari hospital selepas mengalami kecederaan yang tidak dianggap serius. – AFP