Monday, January 13, 2025
33.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua remaja miliki parang, senjata tiruan ditahan di Australia

    MELBOURNE, 8 DIS – Polis Australia telah mendakwa dua remaja lelaki atas kesalahan rompakan bersenjata, kesalahan berkaitan senjata dan kesalahan memandu di Melbourne, kelmarin.

    Polis negeri Victoria dalam kenyataannya hari ini berkata kedua-dua suspek bersenjatakan parang didakwa mendekati seorang mangsa lelaki di Skye, kawasan separa luar bandar di Melbourne, sekitar jam 2:15 petang waktu tempatan kelmarin.

    Kedua-dua suspek, masing-masing berusia 16 dan 15 tahun, didakwa mengugut dan memaksa mangsa yang juga berusia 16 tahun untuk menyerahkan kasut serta telefon bimbitnya sebelum melarikan diri dari tempat kejadian dengan menaiki sebuah Toyota Kluger berwarna perak. Bagaimanapun, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal.

    Sekitar jam 2:30 petang waktu tempatan, kedua-dua suspek didakwa menggunakan senjata api untuk mengugut seorang wanita di kawasan taman di satu lagi kawasan di Melbourne. Mangsa berusia 29 tahun itu tidak mengalami kecederaan fizikal, dan kedua-dua suspek meninggalkan tempat kejadian dengan memandu Toyota Kluger secara berbahaya dan pada kelajuan tinggi.

    Polis mengesan kenderaan Toyota itu sekitar jam 5:30 petang waktu tempatan dan mengekori dari jarak jauh sehingga kenderaan tersebut dikesan di Jalan Frankston-Dandenong. Di situ, ia terlibat dalam perlanggaran dengan dua kenderaan lain.

    Tiada kecederaan dilaporkan. Kedua-dua suspek kemudian meninggalkan kenderaan itu dan melarikan diri ke padang berhampiran. Polis mengejar mereka sebelum berjaya menangkap kedua-dua suspek yang didapati memiliki balaclava dan sarung tangan.

    Polis turut memeriksa kenderaan Toyota tersebut dan merampas sebilah pisau serta beberapa komponen senjata api tiruan. – Xinhua

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda