Dua roket sasar zon hijau Baghdad

BAGHDAD, 5 OKT – Dua serangan roket Katyusha menyasarkan lapangan terbang Baghdad dan Zon Hijau di ibu kota Iraq pada hari ini tanpa menyebabkan kematian, lapor agensi berita Xinhua, memetik tentera Iraq.

Satu serangan berlaku sebelum subuh ketika dua roket dibedil dari kejiranan al-Jihad di barat daya Baghdad dan mendarat di kawasan al-Jadriyah berhampiran Zon Hijau, tanpa menyebabkan korban kematian, kata pejabat media Pengarah Operasi Bersama dalam satu kenyataan .

Salah satu roket mendarat berhampiran sebuah restoran di belakang Hotel Babylon manakala yang lain mendarat berdekatan pejabat Iraqi Airways di Jadriyah, membakar sebuah kereta awam, kata kenyataan itu.

Sebelumnya, serangan lain berlaku selepas tengah malam ketika dua roket Katyusha mendarat berhampiran lapangan terbang antarabangsa Baghdad di barat daya ibu negara tanpa menyebabkan korban jiwa, kata sumber polis kepada Xinhua yang tidak mahu namanya disiarkan.

Siren kedengaran di Kem Victory, yang menempatkan tentera Amerika Syarikat (AS), kata sumber itu.

Setakat ini tiada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab atas serangan berkenaan, tetapi lapangan terbang Baghdad dan pangkalan tentera Iraq yang menempatkan tentera AS di seluruh Iraq, serta kedutaan AS di Zon Hijau, sering menjadi sasaran bedilan mortar dan roket. – Bernama