Dua sekawan sesat di hutan ditemui semula

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MEI – Dua sekawan yang tersesat ketika mencari umbut di kawasan hutan Lebuh raya Muara Tutong, baru-baru ini, berjaya ditemui pada keesokan harinya selepas operasi menyelamat yang turut melibatkan Unit K9.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat, pada hari kejadian, seramai 11 orang anggota diketuai oleh ASO Metusin bin Haji Menudin berserta dua buah jentera dari Balai Bomba Jerudong dan Skuad Khas telah dikerahkan ke tempat insiden sebaik menerima panggilan.

Apabila sampai di tempat panggilan, rakan mangsa mengatakan bahawa dua orang rakan mereka telah tersesat di dalam hutan semasa mencari umbut dan anggota bomba bertindak menjalankan pencarian bersama dua orang rakan mangsa.  Setelah beberapa jam, pencarian diberhentikan disebabkan mangsa tidak ditemui dan dengan keadaan hutan yang tebal, gelap dan membahayakan seterusnya anggota bomba diarahkan keluar dari hutan.

Pada keesokan paginya, operasi mencari dimulakan bersama empat orang anggota Polis RUC dan sembilan orang dari Unit K9 bersama dua ekor anjing.

Mangsa dijumpai oleh Unit K9 dalam keadaan lemah, bagaimanapun tanpa sebarang kecederaan dan seterusnya dibawa keluar dari hutan tersebut dengan jarak dari tempat pencarian sejauh 1 kilometer.

Sehubungan itu, JBP menyarankan orang ramai yang mendaki bukit agar membawa peralatan seperti wisel, lampu suluh, telefon bimbit dan air serta mengetahui keadaan cuaca yang terkini sebelum meneruskan hasrat membuat aktiviti hiking.

Orang ramai juga tidak digalakkan untuk mendaki bukit secara berseorangan ditakuti perkara yang tidak diingini berlaku dan jika merasa tidak sihat, dinasihatkan tidak meneruskan aktiviti pendakian.

Anggota penyelamat semasa melakukan operasi mencari mangsa yang hilang di kawasan hutan Lebuhraya Muara Tutong, baru-baru ini.
Antara anggota penyelamat yang terlibat sama dalam operasi tersebut.