Dua serangan bom di Afghanistan

JALALABAD, Afghanistan, 11 Sept – Seorang budak lelaki terbunuh dan empat yang lain cedera dalam dua insiden pengeboman di luar sekolah perempuan di wilayah bergolak timur Afghanistan hari ini, menurut para pegawai dan saksi, dalam keganasan terbaharu yang melanda negara itu.

Letupan pertama berlaku di hadapan sekolah perempuan Malika Omaira di Jalalabad, ibu negeri wilayah Nangarhar, sekitar jam 8:30 pagi waktu tempatan, kata jurucakap gabenor wilayah Ataullah Khogyani kepada AFP.

Letupan kedua berlaku ketika para pelajar dari sekolah lelaki berhampiran dan penduduk kampung berada di tempat kejadian, kata Khogyani.

Para saksi memberitahu AFP bahawa mangsa adalah pelajar dari sekolah lelaki tersebut.

“Kami pergi (ke tempat kejadian) bersama lelaki lain untuk menyaksikan apa yang berlaku selepas kami mendengar letupan berhampiran sekolah perempuan,” kata Elyas, 12, kepada AFP dari katil hospital tempat dia dirawat.

“Letupan kedua terjadi dan saya cedera (di kaki).

“Saya melihat kanak-kanak perempuan menangis, bergegas keluar dari sekolah tersebut. Mereka semua dalam keadaan panik.”

Letupan berkembar itu terjadi sejam selepas satu pengeboman berlaku di luar sekolah perempuan Biba Hawa berhampiran daerah Behsood, kata jurucakap jabatan pendidikan Jalalabad, Asif Shinwari.

Para pelajar belum datang ke kelas dan tidak ada kecederaan dilaporkan, katanya. – AFP