Dua sindiket dadah tumpas libat rampasan RM1.11 juta

JOHOR BAHRU, 14 NOV – Polis Johor menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM1.11 juta menerusi tiga serbuan berasingan di sekitar daerah ini dan Kota Tinggi pada 9 dan 10 November lepas.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata serbuan pertama di Kota Tinggi pada 9 November lepas, telah menahan seorang lelaki tempatan, 39, dan seorang lelaki Indonesia, 49, dipercayai dalang sindiket berkenaan. Beliau berkata pihaknya menemukan dadah jenis ganja seberat 14.55kg bernilai RM36,392 yang disembunyikan dalam sebuah kereta.

Menurutnya, dua serbuan lagi dilakukan di sekitar daerah itu pada 10 November telah menahan seorang lelaki, 23, dan pasangan suami isteri berusia 50an yang membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM1.07 juta dipercayai untuk ‘private party’.

Ayob Khan berkata rampasan melibatkan sebanyak 21.18kg serbuk ekstasi, 78.6g ketamin, 1.8g syabu, 90 biji pil ekstasi dan 170 biji pil Erimin 5. – Bernama