Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Julai – Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan menceroboh, menyalahgunakan harta dan menyimpan barang curi.
Muhammad Firdaus bin Haji Suhaimi, 27, didakwa menceroboh sebuah rumah di Rancangan Perumahan Negara Panaga 2000, Seria pada 6 Jun 2017.
Dia juga menghadapi dua tuduhan menyalahgunakan harta berupa basikal di Kelab Panaga, antara 30 Mei dan 7 Jun 2017 dan di Jalan Parak antara 6 Mei dan 7 Jun 2017.
Sementara itu, Malai Hazmi bin Malai Hamzah, 36, berdepan dakwaan menerima barang curi berupa dua buah basikal antara 6 Mei dan 7 Jun 2017 di Lorong Tiga Selatan, Seria.
Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh, yang mana kes mereka dipindahkan ke Mahkamah Perantaraan.
Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman membenarkan kedua-dua tertuduh diberi ikat jamin sehingga sebutan seterusnya.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Kamaliah binti Haji Ibrahim.