Dua suspek curi kereta diberkas

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Feb – Hasil maklumat orang ramai serta kerjasama Balai Polis Pusat Bandar Seri Begawan (BSB) dan Balai Polis Tutong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) telah membawa kepada penangkapan dua orang suspek yang dipercayai terlibat dengan beberapa laporan kes berhubung curi kereta.

Kedua-dua suspek tersebut telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar BSB, hari ini, bagi sebutan kes dan pendakwaan.

Mohammad Rahmat bin Abdul Rahman yang merupakan penduduk tetap berumur 38 tahun telah didakwa atas kesalahan curi di bawah Seksyen 379 Kanun Hukum Jenayah Penggal 22 kerana dipercayai terlibat dalam beberapa jenayah yang melibatkan kes curi kereta.

Manakala itu, Shawaludin bin Ali Rahman, warga tempatan berusia 28 tahun, didakwa atas kesalahan di bawah Seksyen 411 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 kerana secara tidak jujur menerima harta curi.

Pihak mahkamah telah meluluskan permohonan reman ke atas kedua-dua tertuduh sehingga 25 Februari 2019 bagi menjalani siasatan lanjut dan pengumpulan bahan bukti.

PDB dalam kenyataannya menegaskan bahawa mereka tidak akan teragak-agak dalam mengambil tindakan tegas dan akan menghadapkan ke muka pengadilan kepada sebarang individu atau kumpulan yang melibatkan diri dalam apa jua kegiatan yang melanggar undang-undang di negara ini.

Mohammad Rahmat, 38 tahun.
Shawaludin, 28 tahun.