Dua suspek judi ditahan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JULAI – Balai Polis Tutong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) telah berhasil menahan seorang perempuan penduduk tetap dan seorang lelaki warga Bangladesh yang disyaki terlibat dengan kegiatan perjudian loteri empat digit.

Ling Mee Chuo, 52 dan Mohamad Sabuz, 35, telah ditahan di sebuah kedai perkakas di Kampung Telisai, Tutong.

Semasa serbuan, pihak polis telah berjaya merampas sejumlah wang tunai dan beberapa bahan bukti seperti telefon bimbit dan keratan kertas berisi nombor loteri empat digit. Kedua-dua suspek bersama barang rampasan dibawa ke Balai Polis Tutong untuk dijalankan siasatan lanjut. Suspek akan berdepan dengan pertuduhan di bawah Akta Rumah Judi Terbuka Penggal 28.

PDB mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas maklumat berkaitan kegiatan perjudian tersebut dan menyarankan orang ramai untuk berkongsi maklumat mengenai apa saja kegiatan yang mencurigakan kepada pihak polis atau ke talian kecemasan 993.