Oleh Sim Y. H. –
TUTONG, 14 JUN – Dua buah syarikat pemaju telah dikenakan kompaun oleh Unit Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Tutong setelah didapati membuang sampah di merata tempat di kawasan tapak projek di tempat awam, hasil daripada Ops Rodaan, kelmarin.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, Jabatan Daerah Tutong menyatakan bahawa syarikat berkenaan telah dikenakan denda kompaun sebanyak $1,000 di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian 2021 dan dikehendaki untuk menjelaskan kompaun dalam tempoh tujuh hari.
Jika gagal membayar denda dalam tempoh berkenaan, syarikat itu boleh dihadapkan ke mahkamah di mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada $2,000 dan tidak melebihi $10,000 manakala itu, bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada $10,000 dan tidak melebihi $30,000, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali.
Unit Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Tutong mengingatkan orang ramai, pihak syarikat dan pemilik premis perniagaan supaya sentiasa menjaga kebersihan alam sekitar, khususnya di kawasan premis-premis perniagaan dan juga kawasan awam dengan tidak membuang, melonggokkan, menumpahkan atau meninggalkan apa jua jenis sampah sarap di tempat awam.