Dua syarikat, tujuh individu dikenakan kompaun

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OGOS – Dua buah syarikat dan tujuh individu iaitu empat orang warga tempatan dan tiga orang warga asing telah didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil, Penggal 30 Bab 12 (1) semasa Operasi Bersih yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang (BPU), Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan (BSB), baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bandaran SBS, di sini, hari ini, sebuah syarikat dikenakan kompaun sebanyak $200 setelah didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil, Penggal 30 Bab 12 (1) (a) kerana membuang bekas kotak-kotak terpakai di kawasan luar rumah elektrik sekitar kawasan Kiulap. Sebuah lagi syarikat pula dikenakan kompaun sebanyak $500 setelah didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil, Penggal 30 Bab 12 (1) (d) kerana melonggokkan dan meninggalkan bekas bahan binaan di kawasan premis perniagaan Kampung Jaya Setia Berakas.

Manakala itu, enam individu dikenakan kompaun sebanyak $100 setiap seorang dan seorang lagi dikenakan kompaun $300 kerana didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil, Penggal 30 Bab 12 (1)(a), 12(1)(b) dan 12(1)(d) di kawasan Menglait Gadong, kawasan sekitar Tasek Meradun dan sekitar kawasan Gadong. Kenyataan menyatakan bahawa dalam kes berkenaan, syarikat-syarikat serta individu berkenaan dikehendaki membayar kompaun ke Bahagian Kewangan, Tingkat 3, Jabatan Bandaran BSB dalam tempoh tujuh hari.

Kegagalan dalam menjelaskan bayaran kompaun berkenaan akan mengakibatkan kes berkenaan dihadapkan ke mahkamah, yang mana bagi kesalahan pertama boleh membawa hukuman denda $1,000, manakala kesalahan kedua dan seterusnya boleh didenda $3,000 dan penjara tidak melebihi tiga bulan.

Jabatan Bandaran BSB juga memperingatkan orang ramai dan syarikat-syarikat supaya tidak membuang sampah di tempat awam demi menjaga kemaslahatan orang ramai dan menjaga kebersihan Negara Brunei Darussalam. Sebarang aduan dan perkongsian maklumat boleh disampaikan terus menerusi Talian Darussalam 123, WhatsApp 8333123, laman sesawang www.123.gov.bn atau e-mel [email protected]

Longgokan bekas bahan binaan yang ditinggalkan di kawasan premis perniagaan Kampung Jaya Setia Berakas. – Gambar serahan Jabatan Bandaran BSB