Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Dua tahun dirawat di Filipina, akhirnya pesakit kritikal pulang

    MANILA – Li Jinxin, seorang wanita Cina berusia 26 tahun, yang berimpikan untuk pulang ke tanah air menjadi kenyataan selepas bertarung dengan penyakit yang teruk selama hampir dua setengah tahun di Filipina yang hampir meragut nyawanya.

    Li menghabiskan 904 hari terlantar di Medical City di Metro Manila akibat pendarahan otak.

    Pakar sarafnya, Kim Alfred Inting, mengatakan Li dimasukkan ke hospital pada 16 Julai 2019 akibat sakit kepala yang teruk, lemah dan lumpuh lengan dan kaki kiri.

    “Selepas membuat imbasan CT, kami menemui ketulan darah di sebelah kanan otak, jadi kami melakukan pembedahan ke atasnya,” kata Inting.

    Selepas tinggal di unit rawatan rapi selama beberapa bulan, Li, yang tanda vitalnya beransur stabil, telah dipindahkan ke wad biasa dan sejak itu telah dijaga oleh Sherricka Mae Navalta, salah seorang jururawat di hospital.

    Gambar menunjukkan hospital Medical City, tempat di mana Li Jinxin menjalani rawatan. – Xinhua
    Li Jinxin menulis namanya dan dibantu oleh Sherricka Mae Navalta di hospital Medical City di bandar Pasig, Filipina. – Xinhua

    Mengimbas kembali hari-hari yang dihabiskan bersama Li, Navalta, yang lebih suka memanggil nama Inggeris Li ‘Coco’, berkata pesakit China itu adalah pesakit paling lama dirawat di hospital.

    Terdapat terlalu banyak detik yang menyentuh hati dan tidak dapat dilupakan semasa menjaga Li, tambah Navalata.

    “Coco berjauhan dengan keluarga-nya, jadi kami menganggapnya sebagai salah seorang saudara atau adik perempuan kami. Saya membersihkan badannya, memeriksa suhu, lampin dan tanda-tanda vitalnya setiap kali saya bertugas. Pada hari lahirnya Julai lalu, saya hantar ucapan selamat hari jadi. Walaupun dia tidak boleh bercakap, ada senyuman di wajahnya,” kata Navalta.

    Navalta berkata, dia bimbang dan kecewa apabila mereka mengetahui Li diuji positif COVID-19 pada Oktober tahun lalu semasa berada di hospital walaupun sekatan COVID-19 yang ketat.

    “Kami bimbang apabila dia terpaksa dipindahkan ke unit terpencil kerana kami tidak dibenarkan menjaganya di wad COVID-19,” kata Navalta.

    “Kami bimbang tentang keadaan Li pada masa itu kerana ramai pesakit COVID-19 yang meninggal dunia.”

    Dengan rawatan dan penjagaan perubatan Filipina, Li bangun pada musim panas lalu selepas menghabiskan hampir dua tahun terbaring di katil dan akhirnya pulih daripada COVID-19.

    Li kini boleh berinteraksi dan berkomunikasi dengan doktor dan jururawat dengan mengangguk dan menggelengkan kepalanya, mengerutkan kening dan juga membuat isyarat jari untuk menyatakan rasa terima kasihnya.

    Apabila kesihatan Li semakin pulih, dia dinasihatkan untuk keluar dari hospital dan dibenarkan pulang ke China untuk bertemu semula dengan keluarganya. Perasaan bercampur baur melanda Navalta.

    “Saya mempunyai emosi yang bercampur-campur. Di satu pihak, kami sedih kerana Coco akan meninggalkan hospital. Tetapi sebaliknya, kami gembira kerana dia telah pulih dan akan bersatu semula dengan keluarganya di China,” kata Navalta.

    “Saya tahu dia tidak sabar untuk bersama keluarga di China kerana apabila kami bertanya sama ada dia mahu pulang ke China, dia sentiasa memberikan jawapan yang positif,” tambah Navalta.

    Seperti yang dirancang, Li akan ditemani oleh pakar perubatan Jenina Paculan untuk terbang ke perbandaran Tianjin China Utara untuk menjalani pemerhatian perubatan dalam kuarantin pada mulanya dan kemudian pulang ke wilayah Hubei di tengah China.

    “Kami tidak menjangkakan apa-apa yang luar biasa sepanjang perjalanan. Kami hanya mahu dia pulang dengan selamat,” kata Paculan. – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...