Dua Taliban antara tiga maut dalam serangan

JALALABAD, AFGHANISTAN, 22 SEPT – Dua pejuang Taliban dan orang awam terbunuh hari ini oleh lelaki bersenjata yang menyerang pusat pemeriksaan di timur Afghanistan, menurut sumber keselamatan dan saksi.

Serangan di bandar Jalalabad hari ini adalah yang terbaharu menyasarkan Taliban di wilayah Nangarhar yang menjadi pangkalan operasi utama kumpulan militan Daesh-Afghanistan sejak bertahun.

Menurut sumber keselamatan dan saksi, serangan dilakukan lelaki bersenjata tidak dikenali yang menaiki beca di daerah Jalalabad, Ghawchak dan membunuh dua pengawal Taliban dan seorang orang awam.

Taliban mengesahkan serangan itu, namun menyatakan semua mangsa adalah orang awam. Dalam insiden berlainan, penduduk memberitahu AFP bahawa dua pejuang Taliban cedera ketika cuba menanggalkan alat peledak buatan di Jalalabad.

Bagaimanapun tiada maklumat lanjut berkaitan. Militan IS-Khorasan (IS-K), kumpulan pejuang tempatan mengaku bertanggungjawab terhadap beberapa serangan minggu lalu di Jalalabad yang mengorbankan dua orang. – AFP