Dua tentera buat pengakuan arahan ‘hapus’ Rohingya

YANGON, 10 SEPT – Tentera Myanmar cuba meremehkan pengakuan dua anggotanya yang memaklumkan telah diarah ‘menghapuskan’ Rohingya Muslim, sebelum terbabit dalam pembunuhan beramai-ramai lelaki, wanita dan kanak-kanak.

Badan bukan kerajaan (NGO) Fortify Rights dan New York Times mendedahkan rakaman temu bual itu Selasa lalu, yang dilihat AFP, membabitkan Prebet Myo Win Tun, 33, dan Prebet Zaw Naing Tun, 30, yang menceritakan tindakan memusnahkan seluruh kampung.

Dua anggota tentera itu mendakwa mereka diarahkan oleh komander kanan untuk ‘menembak semua yang anda lihat dan dengar’ dalam operasi tentera pada 2017, yang menyebabkan kira-kira 750,000 etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh.

Kekejaman yang berleluasa didokumenkan oleh penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan hak asasi membabitkan keganasan yang menyebabkan Myanmar kini berdepan pertuduhan genosid atau pembunuhan beramai-ramai, namun temu bual itu adalah yang paling terperinci diberikan pelaku ketika ini.

Jurucakap tentera Myanmar, Brigedier Jeneral Zaw Min Tun, mengakui kepada BBC Burma semalam, bahawa dua individu itu adalah bekas tentera, namun mendakwa mereka ‘dijadikan tebusan’ oleh kumpulan militan Tentera Arakan (AA) dan ‘diugut serta dipaksa untuk membuat pengakuan itu’.

Kumpulan AA menentang tentera di negara itu kerana mahukan lebih banyak autonomi bagi etnik Rakhine beragama Buddha.

Kedua-dua pihak kerap tuduh-menuduh mengenai pencabulan hak asasi manusia dalam perang saudara yang berlaku di kawasan sama operasi tentera terhadap Rohingya tiga tahun lalu.

AA menafikan dakwaan tentera Myanmar, dan memaklumkan kepada AFP hari ini bahawa dua anggota tentera itu sudah melarikan diri.

“Mereka membuat pengakuan secara sukarela mengenai jenayah perang yang dilakukan tentera Myanmar,” kata jurucakap AA, Khine Thu Kha, memaklumkan anggota lain yang melarikan diri turut memberikan testimoni sama, yang sudah dimuat naik ke dalam talian sejak beberapa bulan lalu. – AFP

Gambar fail diambil 30 September 2017 menunjukkan lelaki Bangladesh membantu pelarian Rohingya Muslim yang tiba di Teknaf, selepas menyeberang sempadan dari Myanmar. – AFP