Dua tentera maut dalam letupan bom

QUETTA, PAKISTAN, 10 APRIL – Sebutir bom di tepi jalan meletup berhampiran sebuah kenderaan tentera Pakistan di wilayah barat daya Baluchistan hari ini dan membunuh dua askar yang sedang membersihkan kawasan itu untuk membina pagar di sempadan Afghanistan, kata dua pegawai risikan.

Dua orang lagi cedera dalam letupan berhampiran sempadan Chaman, kata para pegawai, yang bercakap dengan syarat namanya tidak disiarkan. Setakat ini, tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab.

Tentera dan pegawai kerajaan lain juga tidak dapat dihubungi untuk memberi komen.

Walau bagaimanapun, serangan sedemikian adalah perkara biasa di pelbagai kawasan negara yang bersempadan dengan Afghanistan, di mana tentera telah membina pagar sempadan sejak beberapa tahun yang lalu.

Pakistan berkata ia mendirikan pagar sempadan untuk menghalang pergerakan militan. Pakistan dan Afghanistan dipisahkan oleh Garis Durand 2,400 kilometer, ditetapkan oleh pemerintah British pada tahun 1896.

Kabul tidak mengiktirafnya sebagai sempadan antarabangsa, mencetuskan perselisihan antara kedua negara.

Wilayah Baluchistan juga telah menjadi tempat pemberontakan oleh kumpulan pemisah kecil yang telah menuntut lebih banyak kawasan dan bahagian yang lebih besar dalam sumber semula jadi di rantau ini, seperti gas dan minyak. – AP