Dua tentera Thai pulang dari AS disahkan positif

BANGKOK, 28 JULAI – Dua anggota tentera Thai yang pulang dari Hawaii, Amerika Syarikat (AS) selepas menyertai satu latihan ketenteraan, merupakan dua kes terkini COVID-19 di Thailand.

Sejak penularan wabak COVID-19 pada Januari, Thailand mencatatkan 3,297 kes dengan 58 kematian. Sejumlah 3,111 pesakit telah pulih dan dikeluarkan daripada hospital sementara 129 masih lagi berada di wad.

Hari ini merupakan hari ke-64 Thailand merekodkan sifar jangkitan tempatan. Dalam satu kenyataan, Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) berkata lelaki berusia 22 dan 25 tahun itu tiba pada 22 Julai lepas dan sedang menjalani kuarantin 14 hari di kemudahan yang disediakan kerajaan.

Sejumlah 151 anggota tentera Thai kembali ke negara ini selepas men-yertai latihan, Lightning Forge 2020 bersama tentera AS di Schofield Barracks, Hawaii. Sebaik sahaja tiba, 10 daripada mereka merupakan individu dalam siasatan dan enam daripada mereka disahkan positif pada 24 Julai.

“Semenjak 3 April, sejumlah 66,863 warga Thai kembali dari luar negara dan menjalani kuarantin wajib di kemudahan yang disediakan kerajaan di seluruh negara. Setakat ini, 360 mereka yang kembali didapati positif selepas disaring,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Kawalan Penyakit di bawah Kementerian Pendidikan dan Kesihatan Awam sedang menimbangkan untuk memulakan kelas seperti biasa kerana Thailand melaporkan sifar jangkitan tempatan dalam tempoh 64 hari. Pihak berkuasa berkaitan akan menilai keadaan itu di sekolah-sekolah di seluruh negara, kata CCSA. – Bernama