SRINAGAR, 10 April – Dua askar India terbunuh akibat terkena serangan tentera Pakistan di sepanjang perbatasan yang dikawal ketat tentera, memisahkan Kashmir yang dipertikaikan antara kedua-dua pihak bermusuh, menurut tentera India hari ini.
Tentera Pakistan telah menggunakan mortar dan senjata automatik sepanjang malam untuk menyerang kedudukan India di sektor Sunderbani di sepanjang Garisan Kawalan dalam pencabulan perjanjian gencatan senjata tahun 2003 antara kedua-dua negara berjiran bersenjatakan nuklear itu, ujar jurucakap tentera India Kolonel Nitin Joshi.
Joshi menggelar serangan tembakan Pakistan dan pengeboman itu sebagai ‘tidak dipersetujui dan sembarangan’ dan mengatakan tentera India turut membalas dengan ‘kuat dan efektif.’
Namun, tiada sebarang tindakan segera dari Pakistan.
Pada masa lalu, kedua-dua buah negara telah menuduh antara satu sama lain kerana memulakan pertikaian di sempadan yang membawa kecederaan dan kematian di kedua-dua belah pihak.
Tahun ini, tentera dari kedua-dua buah negara telah terlibat dalam serangan ganas di perbatasan di sepanjang Garisan Kawalan kawasan pergunungan termasuklah di sempadan dengan altitud rendah pada 200 kilometer yang memisahkan Kashmir yang dikawal India dan wilayah Punjab di Pakistan.
Serangan pada awal tahun ini telah menyebabkan beribu-ribu orang penduduk di sempadan untuk mendapatkan perlindungan sementara.
India dan Pakistan mempunyai sejarah lama yang pahit berhubung Kashmir, sebuah wilayah Himalaya yang dituntut secara keseluruhannya oleh kedua-dua negara itu.
Mereka telah berperang dalam dua daripada tiga peperangan di sana sejak 1947 dalam persaingan menuntut wilayah itu. – AP