Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    Dua terima biasiswa

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 FEB – Dalam usaha untuk menyokong pembangunan berterusan kumpulan bakat negara khusus bidang kejururawatan, Gleneagles Jerudong Park Medical Centre Sdn Bhd (Gleneagles JPMC) menawarkan biasiswa kepada dua orang pelajar Kolej Sains Kesihatan JPMC (JCHS) yang sedang mengikut program ijazah kejururawatan.

    Sehubungan itu, penerima biasiswa berkenaan iaitu Dayang Nur Khairunnisa Bazilah binti Haji Rahim dan Dayang Nurul Adibah binti Othman telah menandatangani perjanjian biasiswa dengan Gleneagles JPMC pada majlis yang berlangsung di JPMC, hari ini.

    Hadir menyaksikan penandatanganan biasiswa berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif Gleneagles JPMC, Dr Peter Tay. Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan dari Gleneagles JPMC dan JCHS.

    Dalam kata alu-aluannya pada majlis berkenaan, Dr Peter Tay mendedahkan bahawa hanya 40 peratus daripada jururawat yang berkhidmat dengan Gleneagles JPMC adalah warga tempatan.

    Ia adalah kerana kemahiran khusus dan kepakaran yang diperlukan dalam kejururawatan penjagaan jantung masih kekurangan di Brunei, jelasnya lagi.

    Dr Peter Tay bergambar ramai bersama dua penerima biasiswa dan jemputan khas pada majlis yang berlangsung di Gleneagles JPMC.
    Dayang Khairunnisa Bazilah (dua dari kanan) dan Dayang Nurul Adibah (dua dari Kiri) menandatangani perjanjian biasiswa dengan disaksikan oleh Dr Peter Tay (tengah).
    Dayang Khairunnisa Bazilah (dua dari kanan) dan Dayang Nurul Adibah (dua dari Kiri) menandatangani perjanjian biasiswa dengan disaksikan oleh Dr Peter Tay (tengah).
    Dr Peter Tay menyampaikan kata alu-aluannya di majlis yang berlangsung di Jerudong Park Medical Centre, hari ini.

    Beliau turut menyatakan bahawa pihaknya telah menaja kakitangan jururawat tempatan untuk menghadiri latihan kejururawatan penjagaan kritikal dan jantung lanjut di Malaysia dan Singapura, tetapi masih ramai jururawat tempatan berkelayakan diperlukan.

    Oleh itu, beliau menyatakan perasaan teruja dengan penganugerahan biasiswa kepada dua orang pelajar kejururawatan kumpulan pertama bagi menyertai program kejururawatan di JCHS.

    Majlis kemudian menyaksikan penandatanganan perjanjian biasiswa oleh Dayang Khairunnisa Bazliah dan Dayang Nurul Adibah dengan disaksikan oleh Dr Peter Tay.

    Biasiswa berkenaan meliputi jumlah yuran pembelajaran sepenuhnya dan elaun bulanan para pelajar.

    Pelajar-pelajar biasiswa berkenaan akan diambil bekerja sepenuh masa di Gleneagles JPMC apabila mereka berjaya menamatkan program ijazah kejururawatan mereka nanti.

    Dalam temu bual ringkas bersama Media Permata, Dayang Khairunnisa Bazilah menyatakan bahawa bidang kejururawatan menjadi pilihannya kerana minat mendalamnya untuk menolong orang serta bagi menaburkan bakti kepada negara.

    Beliau juga menyatakan perasaan amat bersyukur kerana dianugerahkan biasiswa berkenaan dan merakamkan penghargaannya kepada Gleneagles JPMC atas kepercayaan yang diberikan kepadanya menerusi penganugerahan biasiswa itu.

    Sementara itu, Dayang Nurul Adibah turut menyatakan keinginan untuk membantu orang yang memerlukan sebagai dorongan baginya untuk memilih bidang kejururawatan.

    Beliau menyatakan penghargaan kepada ibu bapa dan keluarganya atas sokongan berterusan yang diberikan serta juga kepada Gleneagles JPMC atas kepercayaan yang diberikan kepada mereka.

    Gleneagles JPMC menyatakan, penganugerahan biasiswa berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha mereka untuk membangunkan kumpulan bakat tempatan dan perancangan penggantian di hospital itu.

    Dalam tiga tahun kebelakangan ini, Gleneagles JPMC telah meningkatkan jumlah jururawat tempatannya daripada 29 orang pada Januari 2020 kepada 39 orang jururawat pada Januari 2023.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...