Dua terima penghargaan jasawan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 SEPT – Majlis Perundingan Kampung (MPK) Bunut Perpindahan dan Ikatan Persatuan Belia Bunut (IKERAB) buat julung-julung kalinya telah meraikan dua penduduk kampung yang telah banyak menabur bakti dalam hal-hal kemasyarakatan dan kebajikan pada Majlis Penghargaan Jasawan Kampung Bunut Perpindahan, hari ini.

Hadir pada majlis yang berlangsung di Perpustakaan Masjid Kampung Bunut itu ialah Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim yang turut menyampaikan sijil dan cenderahati kepada dua penerima jasawan iaitu Haji Abdullah bin Haji Halus dan Haji Adanan bin Haji Mohd Salleh.

Pemangku Ketua Kampung, Haji Durahim bin Hassan selaku pengerusi sementara MPK Bunut Perpindahan dalam ucapannya antara lain berkongsi mengenai latar belakang kampung tersebut yang sudah pun mencapai usia 68 tahun dengan penduduknya menikmati pelbagai kemudahan asas disediakan pihak kerajaan.

Menurut beliau lagi, dengan adanya majlis penghargaan itu, ia bukan saja bertujuan untuk memberikan penghargaan kepada warga kampung yang banyak membabitkan diri dalam kegiatan keagamaan, sosial dan lain-lain namun turut berjasa dan berusaha memajukan kampung.

Pada majlis itu, Haji Durahim turut memperincikan khidmat bakti Haji Abdullah yang memberikan sumbangan dan jasa semasa bertugas sebagai ketua Kampung Bunut Perpindahan dan penghulu Mukim Kilanas manakala Haji Adanan pula semasa bertugas sebagai ketua Kampung Bunut Perpindahan.

Haji Abdullah menerima sijil penghargaan dan cenderahati jasawan daripada tetamu kehormat majlis.
Haji Adanan menerima sijil penghargaan dan cenderahati jasawan daripada tetamu kehormat majlis.

Haji Abdullah, katanya, banyak melibatkan diri dalam kegiatan kemasyarakatan, keagamaan, sosial dan lain-lain yang mana beliau juga salah seorang jawatankuasa pembinaan masjid Kampung Bunut yang ada pada masa ini bagi menggantikan masjid lama pada tahun 1971.

Selain itu, beliau juga salah seorang jemaah Penasihat Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Bunut dan Penasihat Jawatankuasa Takmir Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Kampung Bebatik.

Manakala dalam kegiatan kebajikan dan sosial, beliau telah memegang jawatan Penasihat Persatuan IKERAB sejak tahun 1967 hingga kini.

Sementara Haji Adanan selaku setiausaha Takmir Masjid Kampung Bunut pula telah banyak membantu dalam mengimarahkan masjid dan membantu Jawatankuasa Muslimah Masjid Kampung Bunut dalam menyusun aktiviti keagamaan dan kebajikan.

Beliau turut menjalankan amanah, jujur dan dedikasi memberi tunjuk ajar dan nasihat kepada belia supaya sentiasa menceburi kegiatan berupa kebajikan terutama sekali di Kampung Bunut Perpindahan.