KUALA LUMPUR – Penyanyi rock, Zainal Abidin Nordin atau dikenali sebagai Zainal Rampa mengalami masalah saraf kronik sejak lapan tahun lalu hingga terpaksa berkerusi roda.
Zainal, 66, berkata keadaan itu menyebabkannya tidak boleh bermain muzik. “Sejak dua tahun lalu, saya tidak boleh bermain gitar. Apabila dirujuk ke hospital, doktor mencadangkan saya melakukan pembedahan namun diberitahu tiada kepastian untuk kembali pulih seperti biasa.
“Bagaimanapun, selepas menjalani rawatan alternatif dan mengambil makanan tambahan, kesihatan saya bertambah baik. Saya sudah boleh berjalan menggunakan tongkat atau
dibantu isteri,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN), Datuk Freddie Fernandez di rumahnya di Setapak.
Pada kunjungan itu, Freddie menyampaikan sumbangan wang tunai untuk Ramadan dan Syawal kepada Zainal sekeluarga.
Zainal adalah bekas vokalis asal kumpulan Search pada awal penubuhan band itu pada era 1980-an.
Beliau berkata, jarinya boleh digerakkan sedikit demi sedikit. “Dua bulan lalu, saya sempat menjayakan sesi ‘jamming’ bersama kawan-kawan di studio untuk melepaskan rindu,” katanya.
Sebelum itu, Freddie turut melawat bekas pemain trumpet kumpulan Heavy Machine, Md Yatim Abdullah yang terlantar di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak 2 Jun lalu.
Freddie berkata, Yatim yang menghidap angin ahmar sejak dua tahun lalu, dimasukkan di HKL berikutan sesak nafas akibat jangkitan kuman pada paru-paru.
“Yatim masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan bergantung kepada alat bantuan pernafasan. Keadaannya bertambah baik tetapi masih lemah. Ketika bertemunya, dia masih kenal saya,” katanya.