Dua wakil negara hadiri Perkhemahan Go Nihon Ki-in

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Dis – Dua orang wakil negara, baru-baru ini, telah menyertai Perkhemahan Go Nihon Ki-in bagi ASEAN yang diadakan di Tokyo dari 14 hingga 20 November tajaan Pusat Asia Yayasan Jepun.

Chin Sin Voon dan Sia Kao Xiang telah menyertai 20 peserta dari negara-negara ASEAN lain dalam perkhemahan yang diadakan bagi jurulatih-jurulatih Go atau pemimpin-pemimpin Persatuan Go masing-masing di ASEAN untuk berkongsi dan mendapatkan pengetahuan dan maklumat mengenai pelbagai metode pengajaran dan teknik bagi mempromosikan permainan Go.

Menurut kenyataan Kedutaan Jepun di Brunei Darussalam, Nihon Ki-in menghoskan perkhemahan berkenaan pada 2015, yang termasuk 10 peserta dari Thailand, Malaysia, Singapura dan Vietnam.

Pada tahun ini, jumlah peserta di perkhemahan berkenaan meningkat kepada 22 orang dan termasuk peserta dari Thailand, Singapura, Malaysia, Vietnam dan Brunei. Ini merupakan kali pertama dua peserta Brunei menyertai perkhemahan berkenaan.

Sesi bergambar ramai bersama para peserta dari pelbagai negara yang menyertai perkhemahan tersebut.

Antara aktiviti yang diadakan sepanjang perkhemahan berkenaan termasuk lawatan ke Universiti Aoyama Gakuin bagi menyaksikan kelas Go di samping menghadiri kuliah-kuliah dan bengkel mengenai pelbagai metode pengajaran permainan berkenaan yang dijalankan oleh para profesional berpengalaman dan kakitangan kanan Nihon Ki-in.

Pada dua hari terakhir perkhemahan, para peserta dari setiap negara membuat pembentangan mengenai pandangan mereka mengenai permainan tersebut dan berkongsi metode pengajaran dan pengalaman mereka.

Menurut kenyataan itu lagi, perkhemahan itu merupakan satu kejayaan, yang mana ramai peserta melaporkan bahawa mereka menyukai pengalaman berkenaan dan menyampaikan penghargaan kepada Nihon Ki-in kerana menganjurkan perkhemahan itu. Mereka juga gembira kerana diberi kit pengajaran terkini dan bahan-bahan Nihon Ki-in untuk digunakan dan dipelajari pada masa depan.