Dua wanita asing dipenjara masuk negara tanpa pas sah

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MAC – Dua wanita warga Malaysia yang disenaraikan sebagai pendatang yang ditegah daripada memasuki negara ini dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Majistret, hari ini.

Noorazian Mazwan binti Abdul Wahab, 32, yang berdepan pertuduhan masuk ke Brunei tanpa memiliki pas sah, dan juga memasuki dan tinggal di negara ini setelah dikeluarkan secara rasmi dari negara ini, telah dihukum satu tahun enam bulan penjara oleh Majistret Mohammad Marzuqi bin Sabtu.

Tertuduh ditahan sepasukan penguat kuasa imigresen yang menjalankan serbuan di sebuah rumah yang terletak di Kampung Saba Darat B pada 2 Mac 2020 kira-kira jam 11:25 pagi.

Siasatan turut mendedahkan tertuduh telah dikeluarkan dari negara ini pada 11 April 2019 sebaik selesai menjalani hukuman bagi kesalahan di bawah akta imigresen.

Dia mendakwa memasuki negara ini dari Limbang menggunakan bot pada 25 Februari 2020 sekitar jam 9 pagi. Manakala Noorizyan Yumni binti Abdul Wahab, 34, yang berdepan pertuduhan sama dijatuhi hukuman satu tahun empat bulan penjara.

Dia ditahan pada 2 Mac 2020 sekitar jam 11:55 pagi di sebuah rumah di Kampung Burong Pinggai Ayer, yang mana dia mendakwa masuk ke negara ini pada 28 Februari 2020 dari Limbang menggunakan laluan Pandam, Lumapas.

Pegawai Pendakwa Imigresen, Adi Yusra bin Haji Adanan memaklumkan mahkamah yang Noorizyan dikeluarkan dari negara ini pada 24 November 2018 sebaik dibebaskan dari penjara.