Dua warga asing diarah bayar denda $686,800

Oleh Fadley Faisal  

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OKT – Dua lelaki warga Bangladesh mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, hari ini, atas dakwaan memiliki dan menyimpan barangan seludup.

Samim Hosan, 31, telah diperintahkan untuk membayar denda berjumlah $343,400 atau berdepan 34 bulan penjara jika gagal membayarnya, selepas mengaku bersalah menyimpan 423 karton rokok dan 13 botol arak.

Salah Uddin Bhuyian, 28, pula mengaku bersalah memiliki semua barangan seludup berkenaan dan turut diperintahkan membayar denda berjumlah $343,400 atau penjara 34 bulan.

Semasa prosiding secara maya itu, pendakwa kastam memaklumkan mahkamah kedua-dua lelaki tersebut ditangkap selepas para pegawai pencegah kastam menyerbu rumah, menemui barangan tegahan tersebut dan mendapati Samim menyimpan barangan seludup yang dimiliki Salah di sebuah rumah di Kampung Lambak Kiri pada pukul 6:33 malam, 13 Oktober lalu.

Majistret Kanan Pengiran Hazirah binti Pengiran Haji Mohd Yusof memerintahkan supaya barangan tegahan itu diserahkan kepada kerajaan.