Dua warga asing simpan rokok seludup didenda hampir $400,000

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 DIS – Mahkamah Majistret hari ini telah memerintahkan seorang lelaki warga Indonesia untuk membayar denda berjumlah $300,000 selepas dia mengaku bersalah menyimpan sejumlah besar rokok seludup di kuarters kerjanya.

Harno, 41, akan menjalani hukuman penjara sembilan bulan sekiranya gagal membayar denda yang dikenakan.

Majistret Harnita Zelda Skinner mendengar daripada pihak pendakwa kastam bahawa sepasukan pegawai pencegahan kastam telah mengawasi kediaman defendan di sebuah kuarters kerja di Jalan Panchor Murai, Limau Manis pada 8:34 malam 23 November yang lepas.

Hasil daripada serbuan itu, para pegawai pencegahan kastam telah menemui sebanyak 443 karton dan lima peket rokok pelbagai jenama yang disahkan diseludup, serta wang tunai $574 hasil jualan rokok defendan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, seorang lelaki warga Indonesia berusia 46 tahun diperintahkan membayar denda $71,000 oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah menyimpan sejumlah rokok seludup.

Nasikun perlu menjalani hukuman penjara selama empat bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Pendakwa kastam memaklumkan mahkamah bahawa defendan ditahan oleh pegawai pencegah kastam kerana menyimpan 90 karton dan 19 peket rokok pelbagai jenama, disahkan diseludup, di kuarters kerjanya di Kampung Pengkalan Gadong sejurus selepas jam 11 malam 20 November lalu.

Majistret Harnita Zelda Skinner turut mengarahkan agar rokok dan wang yang dirampas itu diserahkan kepada pihak kerajaan.