Oleh Sim Y.H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 FEB – Dua warga Negara Brunei Darussalam yang berada di Wuhan, Wilayah Hubei, Republik Rakyat China telah selamat kembali ke tanah air, kelmarin.
Kepulangan kedua-dua rakyat Brunei berkenaan adalah susulan Operasi Evakuasi yang dijalankan oleh Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Kementerian Kesihatan, Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam di Republik Rakyat China dan Jabatan Penerbangan Awam, menggunakan pesawat khas RB.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini, kelmarin, penerbangan khas berkenaan telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei pada jam 4:52 petang 7 Januari dan tiba di tanah air pada pukul 2:45 pagi, 8 Januari.
Sejurus tiba di tanah air, kedua-dua warga Brunei tersebut, seorang penuntut dan seorang pelancong, didapati dalam keadaan sihat dan dibawa terus ke Pusat Pengasingan Kebangsaan bagi menjalankan pemeriksaan rapi selanjutnya di mana mereka akan menjalani pengasi-ngan sekurang-kurangnya 14 hari.
Kepulangan kedua-dua warga Negara Brunei Darussalam dan kru Operasi Evakuasi disaksikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) di Kementerian Kesihatan, Dr Haji Zulaidi bin Haji Abdul Latif; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan) di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin dan Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Pengiran Haji Saiful Rizal bin Pengiran Haji Razali di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.




























