Dua warga emas maut akibat banjir

PEYREHORADE, PERANCIS, 15 DIS – Dua pesara terbunuh dan ribuan rumah bergelap akibat ribut dan banjir melanda barat daya Perancis.

Fenomena alam itu juga menyebabkan 11 kawasan masih kekal dengan amaran peringkat jingga sehingga lewat malam tadi.

Seorang lelaki berusia 70 tahun maut di Pyreness-Antlantique di daerah Basque, Jumaat lalu apabila kenderaannya dihempap pokok tumbang.

Di Espiens di rantau Lot-et-Garonne pula, seorang lelaki berusia 76 tahun menjadi korban juga pada Jumaat lalu apabila dihanyutkan arus deras ketika mengambil surat di kediamannya.

Mayat mangsa ditemui anggota menyelamat 24 jam kemudian selepas hanyut lebih satu kilometer dari rumahnya.

Turut menjadi mangsa ialah lima individu lain yang cedera, dua parah, apabila kenderaan dinaiki mereka dihempap pokok. Operator bekalan elektrik, Enedis memberitahu, ribut berkenaan menyebabkan sehingga 40,000 kediaman bergelap apabila bekalan terputus tengah hari semalam.

Jurucakap syarikat berkata sejumlah 2,000 pekerja teknikal sudah dikerahkan membantu memulihkan keadaan dan menggesa orang ramai membuat panggilan ke talian hotline sekiranya melihat ada pencawang yang tumbang. – AFP

Seorang anggota bomba meredah air banjir di sebuah kawasan berikutan hujan lebat di Peyrehorade, barat daya Perancis pada 14 Disember. – AFP